KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan Malaysia sekali lagi tampil mendesak Kerajaan Amerika Syarikat untuk menghentikan dasar luarnya yang dianggap ‘berat sebelah’ terhadap jenayah perang rejim Zionis Israel.

NGO Malaysian Women’s Coalition for al-Quds and Palestin (MWCQP) pada Isnin, mengetuai beberapa NGO lain, menggesa AS untuk menghentikan sikap hipokrit kononnya sentiasa menegakkan keadilan, demokrasi, dan menghormati hak asasi manusia.

Katanya lagi, sokongan AS yang jelas tidak berbelah bahagi terhadap pencabulan rejim Zionis Israel telah mendedahkan sikap kemunafikan yang nyata.

“Amerika Syarikat menggambarkan dirinya sebagai kuasa utama dunia dalam menegakkan keamanan, keadilan dan kestabilan global. Bagaimanapun imej ini telah sangat terhakis dalam keganasan yang semakin meningkat di Gaza dan kini Lubnan dan Iran.

“AS bukan sahaja gagal menjadi perantara atau membantu meredakan krisis, tetapi secara aktif bersubahat dengan kempen ganas rejim ZIonis Israel terhadap orang awam di rantau itu,” katanya lagi.

Terdahulu kumpulan NGO berkenaan berarak di Jalan Tun Razak di ibu negara sebelum menyampaikan memorandum membantah campur tangan AS terhadap kempen perang Israel di Kedutaan AS di sini pada Isnin.


Memorandum tersebut antara lain menggesa AS untuk menghentikan segala bantuan ketenteraan dan kewangan; memaksa Israel bertanggungjawab terhadap jenayah perang termasuk genosid; menghentikan sikap ‘double standard’ dalam dasar luarnya; serta menuntut gencatan senjata serta-merta di Gaza.

Dalam pada itu MWCQP berkata, angkat kematian yang semakin meningkat dan kemusnahan infrastruktur meluas di Gaza menggambarkan realiti kempen ketenteraan agresif rejim Zionis sedang dibiaya dan dilindungi secara politik oleh AS.

Desak henti keganasan, MWCQP serah memorandum kepada AS


“(Tindakan) itu melalui perlindungan kebal (iron-clad protection) yang berterusan dalam bentuk ketenteraan, kewangan, dan ekonomi.

“Malahan baru-baru ini, AS telah memberi kelulusan pakej bantuan tambahan AS$8.7 bilion. Ini menjadikan AS dilihat bersekongkol secara aktif dalam melakukan genisod dan kemusnahan infrastruktur di Gaza,” kata NGO itu lagi.

MWCQP berkata, sejarah akan menilai sesebuah negara bukan dengan kekuatan fizikalnya, tetapi dengan sikap moralnya, dan AS mempunyai peluang dan tanggungjawab untuk memihak kepada keadilan dan keamanan.