VLADIVOSTOK: Malaysia menolak tuduhan Israel kononnya Mesir menjadikan sempadannya lokasi untuk menyeludup senjata ke Palestin buat pejuang Hamas, dan menganggap itu hanya provokasi tidak bertanggungjawab rejim zionis itu.


Ringkasan AI
  • Malaysia menolak tuduhan Israel bahawa Mesir menyeludup senjata ke Palestin untuk pejuang Hamas, dan menganggapnya sebagai provokasi tidak bertanggungjawab oleh rejim Zionis.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Mesir di bawah pimpinan Presiden Abdel Fattah El-Sisi sebagai negara yang teliti dan menghormati keputusannya untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan.
  • Wisma Putra dan Perdana Menteri Malaysia mengecam tuduhan tidak berasas dan provokatif oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap Mesir, menyatakan ia sebagai percubaan untuk melanjutkan kempen genosid terhadap rakyat Palestin.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesir di bawah pimpinan Presiden Abdel Fattah El-Sisi adalah satu negara yang cukup teliti dan tidak mudah melatah dengan provokasi, namun keputusannya untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan perlu dihormati semua pihak.

Katanya lagi, Israel sering bersikap cuba menyalahkan seluruh dunia yang tidak menyebelahi tindakannya, dan yang terbaharu ialah Mesir.

“Sebaik Mesir tekankan kepentingan bantuan kemanusiaan, itu yang cuba dihalang Israel. Sekarang digunakan dalil baharu, satu dunia salah, sekarang cuba letakkan kesalahan kepada Mesir.

“Semua orang tahu Mesir sangat teliti untuk tidak dilihat melakukan provokasi, sehingga ada yang melahirkan perasan kurang senang terhadap Mesir.

"Tapi pengalaman saya dengan Presiden Fattah, sangat baik. Setiap kali kita hubungi untuk bantuan kemanusiaan, bantuan bawa pesakit anak-anak terutamanya, itu diberi bantuan sangat baik,” kata Anwar lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke sini, di atas jemputan Presiden Rusia sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress.

Awal hari ini, Wisma Putra berkata tuduhan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 2 September lepas terhadap Mesir adalah tidak berasas, provokatif, tidak bertanggungjawab, dan tidak wajar.

Ia berkata, perbuatan Netanyahu adalah percubaan yang tidak masuk akal dan patut dikeji kerana ia bertujuan melanjutkan kempen genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Dengan kenyataan Perdana Menteri dan Wisma Putra, Malaysia menjadi negara terbaharu mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel itu selepas Jordan, Qatar, dan Kuwait.