Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir membidas kenyataan kepimpinan pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap 'flip flop' dalam keputusan beliau untuk terus mengekalkan akta hasutan, malah menambah baikkan lagi akta tersebut dengan dua perkara tambahan yang baru.

Menurut beliau, sikap 'flip flop' bermaksud seseorang yang tidak mempunyai pendirian yang tidak tetap dan seringkali berubah-ubah.

"Apa yang jelas bagi saya, suara akar umbi dan rakyat yang mahu mengekalkan akta hasutan ini merupakan suara majoriti. Ini bukan soal flip flop. Flip flop adalah orang yang tidak tetap pendirian seperti pembangkang.

"Hari ini mereka cakap lain, esok pula cakap lain, dan seterusnya lain pula katanya. Itulah flip flop. Sikap flip flop ini tidak merujuk kepada pandangan ramai tetapi atas keputusannya sendiri.

"Tetapi keputusan yang dibuat oleh Presiden berkenaan akta hasutan ini bukan flip flop tetapi adalah atas dasar pemerhatian dan kajian terhadap suara majoriti. Jadi beliau perlu menghormati suara majoriti yang disampaikan kepada beliau," jelasnya kepada UMNO-Online ketika ditemui di Dewan Merdeka, PWTC di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, seperti yang dijelaskan oleh presiden, akta hasutan ini bukan sahaja mencakupi kaum atau golongan tertentu sahaja tetapi ia mencakupi keseluruhan rakyat di negara ini.

"Sebagai seorang Perdana Menteri dan Presiden parti, beliau bertanggungjawab untuk mendengar suara daripada bawah. Atas sifat demokratik yang ada pada beliau, hormati pandangan yang disuarakan pada beliau bukan hanya dalam lingkungan ahli UMNO, tetapi juga suara dari semua, termasuk NGO dan rakyat maka beliau melihat pada kedua-dua pihak.

"Dan seperti yang dijelaskan, akta hasutan ini bukan sahaja mencakupi kaum atau golongan tertentu sahaja tetapi ia mencakupi keseluruhan rakyat di negara ini. Seperti mana jaminan beliau, akta hasutan yang ditambah baik ini akan dilaksanakan dengan seadil yang mungkin terhadap semua," ujarnya.

Seterusnya kata Zambry lagi, pembangkang sememangnya akan sentiasa cuba memanipulasikan apa saja yang dibuat oleh kerajaan untuk dilihat sebagai sesuatu yang buruk oleh rakyat.

"Begitulah sifat pembangkang. Mereka takkan melihat langsung dari aspek-aspek dari sudut positif. Mengekalkan akta hasutan ini bukanlah memperlihatkan kita bersikap rasis atau perkauman, tetapi keputusan ini adalah hasil daripada kehendak golongan majoriti yang mahukan keamanan dan kemakmuran negara ini terus terpelihara.

"Pembangkang kata kita rasis dan sebagainya, ini semua hanyalah propaganda yang sengaja mereka lakukan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO. Sudah pasti, pengekalan akta hasutan ini bukan bertujuan untuk menganiaya sesiapa atau mana-mana kumpulan.

"Tetapi pengekalan akta hasutan ini adalah untuk terus menjamin kemakmuran dan keamanan negara daripada penghasut-penghasut yang cuba mengganggu gugat perpaduan dan kesejahteraan yang telah disemai selama ini dinegara kita," tegasnya.