KUALA LUMPUR: Pasukan Taskforce insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India mendapati kejadian tanah jerlus yang berlaku baru-baru ini dan menyebabkan wanita warga India hilang, adalah bersifat setempat.


Ringkasan AI
  • Pasukan Taskforce mendapati kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India adalah bersifat setempat dan tidak menjejaskan keselamatan kawasan sekitar. Mesyuarat Taskforce yang melibatkan pelbagai agensi menegaskan bahawa bangunan dan kawasan di Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi. DBKL sedang mengecilkan kawasan 'hoarding' di tapak kejadian untuk memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.


Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam ini memaklumkan ia dibentang dalam mesyuarat pada Selasa yang dihadiri oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Indah Water Konsortium (IWK) serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehubungan itu, mesyuarat Taskforce tersebut menegaskan bahawa bangunan dan kawasan Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.

"Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi Kenny Hills (sejenis formasi batuan berusia karbon yang terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor) dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite dan quartzite," katanya dalam kenyataan tersebut.

Mesyuarat yang  dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Mohamad Hamim turut dihadiri Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

Jabatan itu menambah pihak DBKL sedang mengecilkan kawasan 'hoarding' di tapak kejadian, yang sebelum ini adalah sepanjang 160 meter bermula  dari Wisma Yakin sehingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

"Kawasan 'hoarding' yang baharu akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1; kawasan mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India; dan sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3," tambahnya.

Pada 23 Ogos lalu, G Vijaya Lakshmi, 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan operasi SAR.