KUALA TERENGGANU: Seorang doktor perubatan tidak menyangka keikhlasannya membantu penagih dadah sejak 2009 mendapat pengiktirafan hingga melayakkannya menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/Pengurusan Pesakit Kelamin/Hepatitis C) di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mahani Nordin menjadi rakyat Terengganu pertama yang menerima anugerah itu pada majlis Gala Reben Merah yang diadakan di Kuala Lumpur Jumaat lepas.
Beliau yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan berkata penglibatannya dalam kerja amal itu bermula kerana rasa simpati dengan nasib golongan itu yang 'dibuang' keluarga selepas selesai menjalani rawatan di hospital.
"Mereka tiada tempat berteduh. Tiada siapa peduli dengan nasib malang mereka yang terpaksa tidur di merata tempat termasuk hentian bas, bawah jambatan dan bangunan terbiar untuk meneruskan kehidupan.
"Sebagai individu yang merawat mereka ketika di hospital, saya memasang impian mahu menyediakan sebuah rumah perlindungan untuk mereka menumpang teduh. Ketika itu, kebanyakan pesakit HIV dan AIDS di Terengganu terpaksa dihantar ke pusat rawatan dan perlindungan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Anak jati Hulu Terengganu itu berkata rasa sedih dan kasihan dengan nasib mereka mendorongnya untuk mengasaskan Komuniti Cakna Terengganu sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar tidak mendiskriminasi golongan itu.
Beliau turun padang bertemu beberapa ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk mendapatkan dana menubuhkan rumah perlindungan tersebut dan akhirnya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sehingga berjaya menubuhkan Baitul Cakna di Ajil, Hulu Terengganu pada 2010.
Baitul Cakna adalah bukti betapa seriusnya Dr Mahani dalam membantu golongan tersebut kerana ia didirikan di atas tanah seluas 0.4 hektar yang diwakafkan oleh beliau sendiri, malah tiada sebarang yuran dikenakan terhadap penghuni di situ kerana sumber kewangan ditampung oleh Maidam dan beberapa pihak yang prihatin.
"Buat permulaan, empat penagih dadah ditempatkan di Baitul Cakna dan untuk menampung kos pengurusan, saya bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membimbing mereka dalam aktiviti penanaman keledek, sayur-sayuran, timun serta tanaman kontan yang lain.
"Selain itu, saya turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan yang sudi memantau dan menganjurkan pelbagai program bersama penghuni di rumah perlindungan tersebut," katanya.
Sejak penubuhan Baitul Cakna, semakin banyak pihak yang 'membuka mata' dengan kejayaan Dr Mahani dalam membantu golongan itu memulakan kehidupan baharu serta mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap mereka.
Pada 2017, Dr Mahani berjaya meyakinkan Kerajaan Negeri Terengganu untuk komitmen memberi tanah seluas empat hektar di Kampung Pelandan, juga di daerah Hulu Terengganu untuk dijadikan cawangan kedua.
"Di situ, kita bangunkan rumah perlindungan lelaki, satu rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak, surau, bengkel jahitan dan bengkel penyediaan cili boh sebagai sumber kewangan.
"Pada 2018, Baitul Cakna yang ketiga diwujudkan di Kampung Jambu Bongkok dekat Marang, juga menggunakan pendekatan sama dari segi pemulihan rohani dan emosi melibatkan kerjasama polis, AADK, Kementerian Kesihatan dan komuniti setempat," katanya.
Ketika ini, terdapat 70 penghuni di tiga premis Baitul Cakna dan kebanyakan mereka yang sudah pulih daripada ketagihan dadah kini berkhidmat secara sukarela untuk membantu penghuni baharu.
Terkini, Dr Mahani turut berjaya membantu kerajaan negeri untuk memulihkan bekas penagih dadah melalui perkampungan khas yang dikenali sebagai Darul Barokah di Marang yang dilengkapi rumah dan beberapa projek ekonomi berskala kecil dan sederhana untuk membantu mereka.
"Harapan saya hanya satu agar mereka mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Tiada yang lebih membahagiakan saya selain tangisan gembira bekas penagih dan ahli keluarga mereka sebaik dapat memulakan kehidupan baharu," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 14 2021
Dr Mahani yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan berkata penglibatannya dalam kerja amal itu bermula kerana rasa simpati dengan nasib golongan itu yang 'dibuang' keluarga. - Bernama
Adik Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia
Shamsiah Mustafa dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi Selasa.
52.95 peratus penjawat awam masih belum miliki rumah sendiri
Mengulas lanjut Fadhlina Sidek yang menjawab bagi pihak Menteri Wilayah berkata, walaupun anak penjawat awam dan pesara tidak layak membeli PPAM tapi berpeluang jadi pemilik bersama.
Kuala Lumpur di tangga kelapan terbaik untuk ekspatriat mendiami
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Expat City Ranking, Kuala Lumpur menduduki di tangga kelapan negara yang terbaik untuk ekspatriat mendiami.
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
Social Housing in Cambodia Addresses Climate Change
We spoke with His Excellency Mao Vibol, Under Secretary of State for Cambodia’s Ministry of Land Management, Urban Planning, and Construction, about the country’s efforts to integrate climate resilience into social housing. He shared insights on sustainable urban planning and the role of affordable housing in addressing the challenges of climate change.
36,479 penjawat awam tandatangani perjanjian jual beli PPAM
Jelas Fadhlina Sidek yang menjawab bagi pihak Menteri Wilayah, daripada jumlah tersebut 87 peratus atau 31,942 penjawat awam berpendaptan bawah RM5,000 sebulan.
White House sahkan Biden hadiri pelantikan Trump
White House pada Isnin mengesahkan bahawa Presiden Joe Biden akan menghadiri majlis pelantikan Donald Trump pada 20 Jan.
Sistem kad akses dilaksana di PPR tahun depan -
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata sistem kad akses akan dilaksanakan di PPR mulai tahun depan bagi menangangi masalah pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR).
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
Anwar bertemu pemimpin perniagaan terkemuka Korea Selatan hari ini
Perbincangan berkenaan selaras dengan strategi Malaysia untuk mendapatkan pelaburan 'bernilai tinggi, pertumbuhan tinggi' daripada Republik Korea.
NWICE 2024: Transformasi air menuju kemampanan sejagat
Bertemakan “Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat”, Persidangan & Pameran Inovasi Air Kebangsaan 2024 (NWICE 2024) merupakan kesinambungan daripada pelan hala tuju AIR 2040 yang telah dilancarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air(PETRA) baru-baru ini dalam memastikan pengurusan sumber air yang mampan untuk generasi akan datang.
Hoki dalam dewan adakan aksi persahabatan menjelang Piala Dunia 2025
Skuad hoki dalam dewan negara akan mengadakan beberapa aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum ke Piala Dunia.
Keikhlasan Dr Mahani bantu penagih dadah di Terengganu terima pengiktirafan
Dr Mahani Nordin menjadi rakyat Terengganu pertama yang menerima anugerah itu pada majlis Gala Reben Merah yang diadakan di Kuala Lumpur Jumaat lepas.