KUALA LUMPUR: Perwakilan asing di negara ini menghantar ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia pada Khamis.

Mesej tahniah pertama yang diterima sejurus selepas Anwar mengangkat sumpah pada 5 petang adalah daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Brian D. McFeeters.

"Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Kedutaan AS Kuala Lumpur berharap untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah kepimpinan anda," katanya pada mesej yang disiarkan di akaun Twitter rasmi kedutaan U.S Embassy KL, pada Khamis.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee dalam akaun Twitter rasminya juga menghantar mesej ucapan tahniah kepada Anwar.

Lee juga menyiarkan gambar beliau bersama Anwar.

"Suruhanjaya Tinggi Australia berharap dapat bekerjasama dengan pasukan anda di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif kami," tulisnya di Twitter.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko ketika mengucapkan tahniah kepada Anwar berkata beliau amat berharap kerajaan baharu akan memimpin Malaysia dalam perpaduan dan seterusnya mempromosi hubungan Jepun-Malaysia.

"Tahniah kepada YB Dato'Seri Anwar Ibrahim @anwaribrahim yang telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10," tweet beliau.

Anwar, 75, dipilih sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov.

-- BERNAMA