KUALA LUMPUR: Data yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kebanyakan mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan di luar negara didapati berasal dari kawasan pedalaman atau luar bandar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, mereka didekati sindiket terlibat menerusi pelbagai keedah termasuk iklan tawaran pekerjaan dalam laman sosial dan diperdaya kenalan baharu di medium sama.

"Mengikut trend semasa, mereka yang terpedaya iklan media sosial seperti Facebook dan sebagainya. Kebanyakan mereka yang terjebak adalah mereka yang berasal dari kawasan pedalaman dan luar bandar yang sedang mencari kerja.

"Antara pekerjaan yang ditawarkan oleh sindiket bagi mengaburi mata mangsa adalah pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat pelaburan, di kasino berlesen, jurubahasa, pusat peranginan dan sebagainya," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu modus operandi sindiket dan golongan yang menjadi sasaran sindiket untuk direkrut.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut nendedahkan, ada dalam kalangan mangsa yang berjaya dibawa balik oleh PDRM tetapi pergi semula ke negara berkenaan dan selepas itu meminta sekali lagi untuk diselamatkan.

"Jadi kita nasihatkan rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pekerjaan tempatan terlebih dahulu bagi memastikan mereka mengetahui akan pekerjaan yang sah," katanya lagi.

Justeru beliau mengingatkan mereka ayng ditawarkan pekerjaan itu  merujuk perkara itu dengan kedutaan serta konsulat Malaysia di negara berkenaan terlebih dahulu.