NIBONG TEBAL: Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To' Kandu, Permatang Pauh diteruskan walaupun lima bilik darjah di sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian sedang menunggu siasatan dan laporan forensik daripada pihak bomba berhubung kejadian berkenaan.

"Kita telah berinteraksi dengan pihak bomba dan mereka minta sedikit masa untuk menyiapkan laporan forensik dan sebagainya. Dalam masa sama, pendidikan pelajar di sekolah itu perlu diteruskan, itu komitmen utama kita.

"Walau macam mana cara dan kesusahan sekali pun, pendidikan akan diteruskan.

"Kita sudah berbincang dengan pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, yang mana mereka telah mengambil tanggungjawab untuk memastikan murid-murid terus mendapat pendidikan walaupun sekolah itu memerlukan sedikit masa untuk kita perbaiki akibat kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi di SK Sungai Acheh di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, bomba menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.02 petang berhubung kebakaran di tingkat atas bangunan empat tingkat sekolah berkenaan.

Kebakaran melibatkan lima kelas yang mana tiga daripadanya musnah keseluruhannya, manakala dua kelas terbakar 40 peratus.

Ketika kejadian, tiada murid yang berada dalam kawasan sekolah berkenaan. - Sinar Harian