KUCHING: Faktor kelebaran dan kedalaman sungai-sungai di Sarawak menjadi salah satu punca pembinaan jambatan merentasinya mengambil masa untuk disiapkan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pembinaan sesebuah jambatan memerlukan sekurang-kurang tiga hingga lima tahun untuk siap bergantung kepada keluasan sungai yang direntasi, selain kerumitan projek.

"Kita tahu projek jambatan di Sarawak bukannya merentasi sungai yang kecil, sebaliknya semua besar-besar belaka, jadi tempoh itu adalah proses biasa dalam pembinaan infrastruktur sebegini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Liga Sepak Takraw Kenyalang di Dewan Perbadanan Sukan Sarawak di Petra Jaya dekat sini pada Ahad.

Selain itu katanya tindakan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan projek jambatan yang dirancang sebelum ini, iaitu Jambatan Batang Igan, Rambungan dan Batang Lupar juga telah menyebabkan kelewatan, dan ia mengakibatkan projek-projek berkenaan diambil alih, kemudian diteruskan pembinaannya oleh kerajaan negeri Sarawak.

"Yang penting kepada saya ialah komitmen di peringkat kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meneruskan projek ini, sebab kita tahu betapa pentingnya rangkaian jalan raya bagi menghubungkan setiap bahagian di negeri ini," kata beliau yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) itu.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata pembinaan laluan darat yang menghubungkan bandar dengan luar bandar, serta pembukaan kawasan-kawasan baharu, akan memberi kemudahan bukan sahaja dari segi perjalanan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rakyat tempatan.

-- BERNAMA