Rakyat tidak perlu berasa bimbang dengan keadaan kesihatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang kini dilaporkan stabil, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata baginda kini sedang berehat secukupnya dan akan sihat seperti sedia kala.

"Saya telahpun melawat baginda pada Jumaat lalu selepas mendapat maklum keadaan baginda. Bagaimanapun, baginda berada dalam keadaan stabil.

"Mungkin disebabkan faktor cuaca panas ketika melawat bazar-bazar Ramadan menyebabkan kesihatan baginda terjejas," kata Mohamed Khaled kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kampung Kuala Masai di sini hari ini.

Sultan Ibrahim dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini atas nasihat doktor setelah mengalami jangkitan virus dan gastritis.

Baginda kini ditempatkan di Wad Diraja HSA dan dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat.