Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa jarang diperkata, namun nilainya tetap tiada tandingannya.

Tular di media sosial pada Khamis video dan gambar seorang bapa berlari mendapatkan anak saudaranya yang tumbang menahan terik matahari ketika dalam perbarisan.

Video yang dirakam pada sambutan Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang itu memperlihatkan si ayah bukan sahaja memapah anak saudaranya untuk kembali berdiri, malah dia juga turut kekal di belakangnya, seolah-olah cuba menjadi benteng agar si anak tidak rebah lagi.

Video yang dimuat naik ke akaun TikTok @zamanajmain itu setakat ini sudah menerima lebih 2.4 juta tontonan.

Menurut pemilik video berkenaan, anggota paramedik sudah bersiap sedia membawa anggota itu keluar dari perbarisan, namun mungkin kerana semangat dari si ayah, dia mampu meneruskannya.

Si bapa pula hanya keluar dari padang kawad selepas dipujuk oleh seorang pegawai.

Situasi itu turut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

"Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

"Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan," tulisnya di Facebook.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pula, anggota tersebut merupakan anak angkat beliau dan lelaki yang menyambutnya merupakan bapa saudara anggota berkenaan.

"Nama beliau adalah Nik Mohd Adhar. Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.

"Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawad pagi tadi ialah bapa saudaranya yang bernama Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibubapa Nik Adhar," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Asyraf Wajdi turut memberitahu bahawa Nik Adhar ketika itu sedang demam.

"Baru hubungi beliau bertanya khabar. Rupanya beliau demam ketika berkawat sempena Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang pagi tadi. Moga Allah beri kesembuhan yang sempurna kepadanya," tulisnya.