KOTA KINABALU:Pihak berkuasa tempatan di Sabah digesa lebih proaktif dalam menangani isu melibatkan masalah jalan raya dan bekalan air di negeri itu. 

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara jalan-jalan raya di beberapa kampung dan kawasan perumahan di negeri itu yang tidak menjalankan amanah yang diberikan.

Menurutnya, pihak PBT perlu berbincang dengan pihak konsesi yang terlibat bagi memastikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan dibuat secara berkala.

BACA: Sabah bentang enakmen baharu libatkan isu air - Bung Moktar


Isu Air Sabah | Ke arah menyelesaikan masalah air di Sabah

"Tujuan kita melawat beberapa kawasan di Kota Kinabalu hari ini adalah bagi meninjau dan menyelesai serta mengurangkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

"Masalah yang saya dapati ialah masalah jalan raya, jalan kampung yang sudah tidak diselia dan diselenggara sejak berpuluh-puluh tahun, masalah perparitan yang tersumbat dan macam-macam lagi masalah lain antaranya masalah setinggan, masalah kecurian air, kecurian letrik dan masalah yang ketara sekali adalah masalah bekalan air.

"Contohnya, di Bandar Siera yang telah kita lihat viral di Facebook dan di media sosial tentang mereka memerlukan bekalan air.

"Kita mahu perkara ini selesai segera, kasihan pada rakyat yang sudah lama tidak dapat air yang baik dan tugas kita adalah meminta supaya PBT lebih proaktif selepas ini," katanya selepas mengadakan lawatan di enam kawasan kampung termasuk satu perumahan, di sini pada Jumaat.


Isu Air Sabah | Pengurusan air lebih cekap di Sabah

Kawasan terbabit adalah Kampung Rampayan, Kampung Kibagu, Kampung Suang Parai, Kampung Unggun, Kampung Maruah Sumangit dan Bandar Siera.

Jelasnya, masalah bekalan air dan jalan raya bukan perkara baharu di Sabah dan ia memerlukan pendekatan lebih efektif bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurut Bung Moktar, isu air di Sabah bukan masalah baharu dan telah berlanjutan hingga berpuluh-puluh  tahun lamanya.

"Saya memasuki Kementerian ini dan memikul beban yang berpuluh-puluh tahun, walau bagaimanapun saya harus mencari jalan dan pendekatan baharu supaya masyarakat negeri Sabah dapat menikmati air bersih dan Jabatan Air juga dapat berniaga melalui bekalan air," katanya.

Isu perparitan di kawasan-kawasan yang dilawati telah dikemukan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jelas Bung Moktar.

"Pihak DBKK akan berbincang dengan JPS untuk menangani masalah perparitan di kampung-kampung, apabila hujan selama dua jam sahaja terus tenggelam seperti yang berlaku di Kampung Rampayan.

"Pengarah JKR telah memaklumkan akan menghantar pasukan untuk meneliti cadagan-cadangan dari penduduk kampung dan dari wakil rakyat di sini dalam usaha memastikan jalan-jalan raya yang tidak diselenggara untuk segera diselenggarakan," jelasnya.