Penalti ini melibatkan dua tender Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) serta satu tender Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pelan mitigasi banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata, hasil siasatan mendapati lapan syarikat tersebut melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat dalam pemanipulasian bidaan pada 2019.
Lapan syarikat itu termasuk Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd, yang terbabit dalam ketiga-tiga tender tersebut.
Dua buah syarikat lagi ialah NYL Corporation Sdn Bhd yang terlibat dalam kedua-dua tender JKR dan Kiara Kilat Sdn Bhd yang terlibat dalam salah satu daripada dua tender JKR itu.
"MyCC dalam siasatannya mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan kartel ini diketuai oleh Mangkubumi dan operasi dipusatkan di premis Pintas Utama.
"Malah, semasa serbuan oleh MyCC, hampir semua bukti dijumpai di premis Pintas Utama.
"Siasatan mendapati pengaturan bidaan tender oleh syarikat-syarikat ini dilakukan melalui perkongsian maklumat menerusi e-mel, mesyuarat dan penyediaan dokumen tender fizikal yang kebanyakannya dibuat di premis Pintas Utama," katanya pada sidang media hari ini.
Iskandar berkata modus operandi berkenaan digunakan oleh kumpulan kartel tersebut sepanjang ketiga-tiga projek berjalan.
Iskandar turut mendedahkan, IDX Multi telah dianugerahkan projek Central Spine Road; pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang Seksyen 3B dan 3C KM180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang (Tender CSR:3B dan 3C).
Manakala Menang Idaman dianugerahkan projek Central Spine Road; pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang Seksyen 3J Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong (Tender CSR 3J), yang kemudiannya disubkontrakkan kepada Mangkubumi.
"Mangkubumi bertindak sebagai kontraktor utama bagi pihak IDX Multi Resources dan Menang Idaman, sebelum seterusnya mensubkontrakkan projek ini kepada sebuah lagi syarikat, YCH Sdn Bhd," katanya.
Namun, bagi tender projek mitigasi banjir di Selangor, beliau berkata, sebaik sahaja IDX Multi dianugerahkan projek tersebut, syarikat itu terus mensubkontrakkannya kepada YCH.
Iskandar berkata syarikat-syarikat yang dikenakan penalti perlu membuat pembayaran dalam tempoh 30 hari, namun mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan.
