KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail memohon maaf di atas gangguan perkhidmatan yang memberi kesan kepada penerbangan Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal pada 19 Ogos lepas.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau berkata, pihak pengurusan menyedari insiden tersebut telah memberi kesan kepada jadual penerbangan penumpang mereka.

Jelas Izham lagi, MAG kini terkesan dengan penangguhan penghantaran pesawat baharu, menyebabkan kurangnya jumlah pesawat penerbangan untuk operasi yang telah dirancang terlebih awal.

"Ketika ini pengurusan MAG sedang bekerja rapat dengan pengeluar enjin dan pesawat, serta rangkaian pembekal yang lain untuk menangani isu rantaian bekalan dan teknikal.

"Ketika langkah mitigasi itu sedang berjalan, MAG akan mengurangkan liputannya sementara waktu sehingga Disember ini, untuk menentukan langkah yang terbaik," katanya lagi.

Langkah itu, jelasnya lagi, bagi memastikan kemampanan pesawat dan operasi, serta meningkatkan kemampuan mereka untuk memastikan pelanggan Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal mengalami gangguan yang minima, selain terus mempunyai pengalaman terbaik dengan perkhidmatan mereka.

Selaras dengan komitmen yang dizahirkan sebelum ini, Izham berkata, pihak pengurusan sedang melakukan yang terbaik untuk menangani punca permasalahan isu yang signifikan itu, yang memberi kesan kepada operasi, termasuk tekanan kepada rantaian bekalan, tenaga kerja, dan faktor luaran lain.

Cabaran tersebut, katanya, sedang ditangani sebaik mungkin sebagai sebahagian daripada langkah normalisasi sektor penerbangan global pasca COVID-19.

Izham berkata, MAG amat menyesali tentang gangguan yang signifikan susulan pembatalan penerbangan, namun mereka harus mengutamakan keadaan yang optima bagi pesawat mereka untuk penerbangan yang selamat dan efisien.

Pelanggan yang terjejas, menurut Izham, akan menerima notis pemakluman melalui e-mel tentang jadual baharu penerbangan mereka.

Bagi penumpang yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menggunakan perkhidmatan live chat di aplikasi dan laman web Malaysia Airlines dan Firefly, atau hubungi pusat hubungan antarabangsa di 1 300 88 3000 di Malaysia, dan +603 7843 3000 di luar negara.