Seorang kanak-kanak lelaki dikejarkan ke hospital apabila dipercayai terkena bahan kimia selepas sebatang termometer terjatuh dan pecah di rumah keluarganya di Taman Wah Keong di sini pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khamis Harun berkata, mangsa dikenali sebagai Cham Ee Heing, 9, dibawa ke hospital berdekatan oleh keluarganya untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya segera ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira 8.33 pagi.

"Semasa sampai, anggota bomba menemukan tumpahan merkuri daripada pecahan termometer di atas meja sahaja dan kami menabur sulfur sebelum membiarkannya menyerap bahan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khamis berkata pihaknya turut membersihkan kawasan tersebut menggunakan cecair peluntur bagi memastikan ia selamat.

Katanya operasi tamat sepenuhnya pukul 9.15 pagi tadi.

-- BERNAMA