LABUAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium awal pagi ini.

Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat satu oleh penduduk kondominium berkenaan.

Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai terjatuh kira-kira 5.28 pagi dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada 7.42 pagi.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat," katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA