HULU TERENGGANU: Keriangan sebuah keluarga bercuti di Tasik Kenyir bertukar tragedi selepas seorang kanak-kanak tiga tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada rumah bot.

Mangsa Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman dilaporkan tenggelam selepas terjatuh kira-kira jam 8.20 malam Jumaat berhampiran Air Terjun Sungai Lasir.

Ketika kejadian, bapanya Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, sedang mengambil wuduk sebelum dimaklumkan anak bongsunya terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, menyedari insiden itu, pekerja rumah bot berkenaan terus terjun bagi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

“Kejadian ini disedari salah seorang penumpang bot tersebut dan staf bot telah menyelamatkan budak tersebut dan terjun ke dalam tasik tersebut dan berjaya menaikkan mangsa dalam anggaran 10 minit selepas itu.

“Bagaimanapun mangsa telah didapati tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke jeti dan bantuan pernafasan kali kedua juga telah diberikan oleh pihak KKM... namun mangsa telah didapati meninggal dunia,” ujarnya.

Rohaimi dalam pada itu mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak ketika berada di kawasan rekreasi air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.