MELAKA TENGAH:Polis menafikan dakwaan kononnya kanak-kanak malang yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini pada Jumaat, telah meninggal dunia lebih awal sebelum laporan dibuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kurang dari dua jam sebelum dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik.

“Apa yang netizen katakan kanak-kanak ini telah meninggal dua atau tiga hari dan telah kembung itu tidak betul yang mana kita dapati dia baru sahaja meninggal dunia kira-kira dua atau tiga jam sebelum dibawa ke hospital ini.

“Masa pihak polis sampai, mayat telah berada di bahagian luar tong di bilik air tingkat bawah rumah. Bagaimanapun dakwaan bapa tirinya bahawa kanak-kanak lemas itu, belum kita boleh sahkan dan masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam Ahad.

BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong: Bedah siasat temui pelbagai kesan kecederaan

Mengulas lanjut ujarnya, sehingga kini masih terlalu awal untuk mengaitkan kematian kanak-kanak itu akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

“Kita tidak boleh cakap kematian ini akibat dera atau lemas, itu bergantung kepada keputusan makmal atau laporan kimia yang mana doktor pun masih menanti untuk tentu punca kematian,” jelasnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Sehingga kini, belum ada kata putus samada jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung keluarga ibu kandungnya di Jasin ataupun dibawa pulang ke tempat dia dibesarkan di kediaman keluarga angkat di Rawang, Selangor.