Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan antara lima hingga enam tahun ditemukan di Lebuhraya Grand Saga pada kira-kira jam 4.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman mengesahkan bahawa kanak-kanak lelaki itu dijumpai oleh orang awam di tepi Lebuhraya Cheras-Kajang yang juga dikenali sebagai lebuhraya Grand Saga selepas Tol Batu 11 menghala ke Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Kanak-kanak yang dipercayai berbangsa Arab itu tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga enam tahun itu ditemui memakai baju T berwarna hijau dan seluar pendek berwarna biru gelap serta tidak tahu bercakap bahasa Melayu atau Inggeris," katanya dalam satu kenyataan.

Astro AWANI dimaklumkan sehingga jam 9 malam tadi masih belum ada mana-mana pihak yang menuntut kanak-kanak terbabit dan dia telah dihantar ke Balai Polis Batu 9 di sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak tersebut atau keluarganya boleh menghubungi Balai Polis Batu 9 di talian 03-9075 8222.