TUMPAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Sungai Kelantan, Pasir Pekan, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata mayat mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan terapung pada 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Aqil Rifqi Mohd Mazri.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat telah dikerahkan ke lokasi kejadian di Jeti Pokdin untuk kerja-kerja menyelamat namun kanak-kanak itu telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Tumpat bagi bedah siasat.

Bernama difahamkan mangsa dikatakan pergi ke kawasan itu untuk mandi bersama dua rakannya pagi semalam namun telah tenggelam dan hilang.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat dia dikatakan tenggelam oleh seorang pemandu bot yang melalui kawasan itu hari ini.

-- BERNAMA