Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika melintasi Sungai Babagon, Penampang dekat sini, empat hari lepas ditemui lemas hari ini.

Mayat Jerome Jeremy Maratin, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di jeti Cyber City di Sungai Sodomon, Kepayan pada 1.05 tengah hari, iaitu kira-kira 18 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

"Mangsa dilaporkan dihanyutkan air sungai deras dan operasi mencari dijalankan sejak Rabu lalu," katanya di sini.

Laporan kehilangan mangsa dibuat di balai Bomba dan Penyelamat Penampang sebelum gerakan mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan kerjasama JPAM dan anggota polis.

Pada Selasa lepas, mangsa dilaporkan tergelincir ketika melintasi Sungai Babagon bersama dua rakannya pada kira-kira 4.30 petang. Rakan mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.