Masalah yang dihadapi Muhammad Adam Harith yang memerlukan derma bagi memiliki mesin oksigen untuk meneruskan kehidupannya yang didedahkan Astro Awani Ahad lalu kini berakhir.

Muhammad Adam yang berusia setahun dua bulan kini sudah memiliki mesin oksigen tanpa perlu meminjamnya daripada pihak hospital.

Ibunya Fatin Asilah bersyukur kerana pelbagai pihak tampil menghulurkan derma wang ringgit dan seorang individu dari Taiping turut menderma mesin oksigen itu kepada anaknya itu.

Muhammad Adam yang kelihatan riang dan aktif juga menerima bantuan kos rawatan RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor.

Ibunya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada warga Malaysia yang bermurah hati kerana sanggup menghulurkan derma kepada Adam.

"Semua orang yang membantu bagi sokongan kepada saya selama ini semenjak Adam sakit dan dermakan mesin itu adalah Encik Al-min dari Taiping, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak semoga Allah saja yang boleh balas kesemua ini", katanya ketika diziarahi Astro AWANI di kediamannya pada Khamis.


Pada Ahad lalu, krew Astro AWANI telah melawat Adam yang mengalami masalah paru-paru, saluran pernafasan sempit dan tiada injap dalam saluran pernafasannya.

Masalah itu dialami sejak lapan bulan lalu dan memaksanya menggunakan mesin oksigen yang dipinjamkan sementara oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kos rawatan Adam ditanggung sepenuhnya oleh suaminya yang berkerja sebagai operator pengeluaran disebuah syarikat swasta.

Pasangan suami isteri itu juga mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Mohd Anas Hamizan yang berusia lima tahun.

Orang ramai yang ingin terus menghulurkan derma kepada Adam boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Fatin Asilah 10130 41 000125074 atau menghubunginya di talian 019-342 5845.