Syarikat pengedar produk teknologi Corvan Technology, pada Khamis menjelaskan pihak mereka tidak terlibat dengan iklan ''Fire Your Indonesia Maid' syarikat RoboVac yang menyinggung perasaan ramai pihak.

Pengurus Besarnya Kevin Lee berkata sebagai pengedar tunggal Neato Robotics di Malaysia, mereka telah menghubungi rakan niaga di Amerika Syarikat dan masih menunggu nasihat untuk tindakan seterusnya berhubung isu ini.

"Kami berharap pengedar dan penjual tidak sah ini tidak memasarkan apa-apa produk yang mewakili Neato Robotics di mana ia boleh menimbulkan salah faham kepada pengguna.

"Mereka adalah pengedar dan penjual yang tidak sah, sepatutnya mereka tidak terlibat dalam kempen promosi jenama yang berkaitan.

Beliau juga berkata Corvan Technology menggesa para pelanggan Neato BotVac Robotic Vacuums supaya berhati-hati dengan pengedar tidak sah.

“Kami juga melakukan yang terbaik untuk mendidik pelanggan daripada membeli produk pengedar tidak sah kerana ada produk seperti robot pembersih vakum memerlukan sokongan profesional selepas dibeli,” kata Kevin ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau juga berkata Corvan Technology tidak pernah bekerjasama atau memberi arahan kepada RoboVac Malaysia untuk mewakili jenama mereka dalam apa-apa bentuk.

“Buat ketika ini kami akan memantau keadaan semasa dan kami bersedia untuk mengambil apa-apa tindakan sewajarnya. Objektif kami adalah untuk melindungi keperluan pengguna,” kata Kevin.

Beliau berkata setakat jam 7:30 petang, belum ada lagi pihak berkuasa tempatan menghubungi mereka mengenai perkara ini.

Sebelum ini Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla membidas iklan itu dan mendesak syarikat peralatan pembersihan RoboVac untuk memohon maaf.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, M. Hanif Dhakiri telah mengirimkan pesanan pendek kepada Kementerian Tenaga Kerja Malaysia berkenaan iklan yang sama.