"Kami terpaksa memanjat bukit setiap hari untuk mendapatkan isyarat telefon. Kami mahu memberitahu keluarga kami bahawa kami selamat.

"Hanya dua daripada kami berjaya mendapat isyarat telefon selepas terkandas dan kemudian itupun hilang," kata Ummi Fasihah Abd Razak, 22, seorang daripada 11 pelajar yang diselamatkan daripada banjir yang melanda Jammu & Kashmir.

Menceritakan pengalaman selama empat hari itu, Ummi berkata dia dan 10 pelajar dari Kampus Perubatan Manipal, Karnataka yang terkandas di Awantipora, 30km dari Srinagar iaitu ibu negeri Jammu & Kashmir, tidak tahu bagaimana keadaan yang suram ketika itu.

Srinagar, ialah antara kawasan paling teruk dilanda banjir dengan 700,000 mangsa masih terkandas dan menunggu untuk diselamatkan.

"Kami tiba pada 2 Sept lepas. Kami tinggal di Srinagar dan menuju ke Pahalgam pada hari kedua, dan dari situ kamu mahu pergi ke Sonmarg. Tetapi kami tidak dapat meneruskan perjalanan kerana jalan tersekat dan kami berpatah balik ke Pahalgam.

"Kami terkandas di Awantipora pada percubaan kali kedua kami untuk meninggalkan Pahalgam," katanya.

"Oleh kerana tidak mempunyai pilihan lain, mereka mendapat tempat untuk tinggal di sebuah rumah penduduk tempatan di Awantipora.

"Kami bersama lapan orang lagi pelancong India tinggal di rumah itu selama empat hari sehingga kami dihantar melalui udara pada Selasa," kata beliau kepada Bernama hari ini ketika ditemui di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

"Setiap hari kami bertanya kepada penduduk di kawasan itu mengenai paras air. Sekalipun paras air menurun dengan kecil, itu adalah berita baik bagi kami.Sekurang-kurangnya ada kemajuan.", katanya.

Selain 11 pelajar perempuan, yang terbang ke Malaysia pada Rabu, lima agi pelajar juga sempat meninggalkan Srinagar. Rakyat Malaysia yang lain berada dalam keadaan selamat dan dalam proses untuk dibawa keluar dari negeri itu.

Ummi berkata mereka sentiasa berhubung dengan polis dan tentera yang banyak membantu untuk membawa mereka keluar dari kawasan berkenaan.

"Mereka sentiasa memberitahu kami mengeai sama ada terdapat helikopter untuk membawa kami. Sesetengah daripada kami menangis kerana kami tidak tahu berapa lama kami akan terkandas di sini kerana keadaan di Srinagar bertambah buruk," kata beliau.

Ketika ditanya bagaimana mereka dapat menghubungi Konsul Jeneral di Chennai untuk memberitahu di mana mereka berada, beliau berkata: "Ketika kami masih mempunyai isyarat. Norhayati (Nasir) dapat mengemaskini catatan dalam Facebook bahawa kami semua selamat dan tinggal di rumah seorang penduduk tempatan," katanya.

"Hanya apabila kami dibawa melalui udara dan mendarat di lapangan terbang Srinagar untuk diterbangkan ke Delhi, barulah kami sedar tentang bagaimana buruk keadaan," kata Ummi.

Fateen Najwa Mohd Mohd Yacob, 22, berkata mereka semua kesal kerana tidak memaklumkan kepada Konsul Jeneral di Chennai, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai perjalanan mereka ke Jammu & Kashmir.

"Ia peristiwa yang tidak disangka dan kami meminta maaf selepas menyedari bahawa keadaan kami telah menimbulkan kerisauan di Malaysia dan bagaimana keluarga kami dan pihak berkuasa berasa bimbang. Kami mengambil cara mudah. Ini kali kedua saya ke Kashmir dan saya fikir semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.

Norhayati, 22, berkata dia dan rakan-rakannya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penduduk Kashmir, polis, tentera dan kerajaan Malaysia yang bertindak cepat untuk membawa mereka balik dengan selamat.

"Mereka juga mangsa banjir tetapi penduduk Kashmir yang banyak membantu.

Tidak ada bekalan elektrik, air atau makanan yang cukup tetapi mereka berkongsi dengan kami apa yang mereka ada. Pihak tentera memastikan kami selamat kerana kesemua kami pelajar perempuan," katanya.