"Kita bersyukur kerana Sarawak masih sayangkan perpaduan dan tidak mahu isu keagamaan menjadi punca mereka berpecah."

Demikian kenyataan pengerusi Pesatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) cawangan Kuching yang meminta agar adat kesopanan terus diamalkan di negeri itu ketika negara sedang hangat dengan isu kalimah Allah.

Pengerusi SADIA Datuk Anthony Nait Mani berkata meskipun terdapat beberapa pemimpin Islam negeri itu yang bercanggah pendapat, namun penduduk Sarawak tidak mahu isu itu ‘menyerang’ masyarakat mereka.

“Bersyukurlah. Saya rasa masyarakat Sarawak secara keseluruhan sayangkan perpaduan dan tidak mahu jadikan kepercayaan agama memecah belahkan mereka.

“Kita tahu dalam perang, ataupun dengan keluarga ia berlaku atas nama agama. Kita tidak mahu kekecohan itu berlaku di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari The Borneo Post.

Nait memuji sikap timbalan presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Openg dan juga naib presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman serta Timbalan Menteri Dalam Negeri datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana membuat pendirian terhadap isu itu.

Kata mereka, isu kalimah Allah itu bukanlah suatu isu di Sarawak meskipun mereka tahu kesan perundangan daripada keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober membenarkan pengharaman Kementerian Dalam Negeri kalimah Allah oleh penerbitan Katolik ‘The Herald’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam reaksinya menyeru rakyat Malaysia menerima keputusan kes kalimah Allah dengan hati yang terbuka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kenyataannya pula, mahukan semua pihak menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana menurutnya mahkamah telah membuat penghakiman berdasarkan kepentingan awam secara keseluruhan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata tindakan rayuan tersebut adalah demi menjaga keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Zahid menjelaskan selaku pihak yang terlibat dalam proses rayuan itu, kementerian tidak melihat kepada aspek undang-undang semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Sementara itu pemimpin pembangkang tetap bertegas dengan pendirian berhubung penggunaan kalimah Allah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu parti itu tetap mempertahankan dan tidak akan berganjak daripada pendirian mereka sebelum ini.