KUALA LUMPUR: Gabungan dan kerjasama strategik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor, serta calon pilihan Menteri Besar mereka Datuk Seri Amirudin Shari, dilihat masih mengungguli pilihan pengundi di negeri itu.

Menurut tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC (EMGC), 76 peratus peserta kajian pelbagai bangsa di 34 kerusi marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bersetuju PH perlu mengekalkan Amirudin sebagai MB, manakala 69 peratus peserta kajian Melayu di kerusi marginal tersebut turut mempunyai pandangan yang sama.

Namun, EMGC berpandangan, Perikatan Nasional (PN) masih berpotensi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, sekiranya mereka berjaya memenuhi dua syarat kritikal.

“Syarat pertama ialah pengundi Melayu PH dan BN yang amat tidak komited beralih kepada PN sekali gus mengurangkan sokongan Melayu kepada PH dan BN kepada kira-kira satu pertiga daripada semua undi Melayu.

“Pengundi ini adalah mereka yang merasakan, sebelum kempen pilihan raya PRN, mereka akan mengundi PH atau BN, tetapi pengundi yang sama juga tidak bersetuju dan/atau kecewa dengan PH dan BN dalam isu kaum (hak/kedudukan Melayu), agama dan masalah kos sara hidup.

“Syarat kedua ialah peratusan keluar mengundi Melayu perlulah 20 peratus atau lebih daripada peratusan keluar mengundi bukan Melayu, misalnya, jika peratusan keluar mengundi Melayu adalah kira-kira 85%, peratusan keluar mengundi bukan Melayu hendaklah kira-kira 65%,” menurut dapat kajian itu lagi.

EMGC berpandangan PN masih berpotensi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, sekiranya mereka berjaya memenuhi dua syarat kritikal.

EMGC berpandangan PN masih berpotensi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, sekiranya mereka berjaya memenuhi dua syarat kritikal.

Tinjauan tersebut dijalankan ke atas 1,068 peserta kajian pelbagai bangsa melalui kaedah persampelan rawak berstrata, di 34 kerusi marginal DUN Selangor dengan jumlah sampel populasi seramai 2,006,569 pengundi, dan 724 peserta kajian berbangsa Melayu dengan jumlah sampel populasi seramai 1,359,683 pengundi.

EMGC berkata, unjuran dari penganalisis telah menunjukkan bahawa ia telah berlaku sebelum ini dalam pilihan raya negeri yang lain, contohnya – PRN Johor 2022 yang menyaksikan peratusan keluar mengundi Melayu dianggarkan kira-kira 25 peratus lebih daripada peratusan keluar mengundi bukan Melayu.

Tambahnya lagi, PN telah menunjukkan keberkesanan dalam kempen Pilihan Raya Umum 2022 apabila ia berjaya menawan blok sokongan Melayu terutamanya daripada BN, dan juga daripada pengundi baharu.

“Walaupun kempen yang berfokus dan agak memecahbelahkan dengan berpaksikan kaum, agama dan krisis kos sara hidup dapat menyaksikan PN meraih sokongan Melayu yang cukup untuk memenuhi syarat pertama, tidak jelas apa yang boleh PN lakukan supaya ia juga mencapai syarat kedua.

“Memandangkan PN memerlukan kedua-dua syarat dipenuhi untuk memenangi negeri itu, dan merujuk kepada tinjauan kerusi DUN majoriti Melayu Selangor (34 Kerusi DUN) terbaru ini, kemungkinan PH & BN kekal sebagai Kerajaan negeri Selangor walaupun dengan majoriti mudah sahaja,” menurut kajian itu lagi.

Berikut adalah keputusan penuh Tinjauan Kerusi Marginal DUN Selangor oleh Endeavour-MGC: