KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik digalakkan mengambil bahagian dalam kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 demi membina masa depan negara yang lebih baik.

Ahli Lembaga Pengarah Centre for Malaysian Chinese Studies (CMCS), Prof Madya Dr Chang Yun Fah berkata, pihaknya berharap rakyat Malaysia dapat menyertai kaji selidik secara dalam talian dan bersemuka yang dijalankan selama tiga minggu mulai hari ini sehingga 9 Oktober depan.

Pensyarah di Universiti Taylor's Malaysia itu berkata, CMCS juga akan melakukan kaji selidik secara bersemuka membabitkan lebih 300 responden di beberapa Parlimen terpilih di seluruh negara termasuk di kawasan dikuasai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain serta di kerusi tidak dikuasai mana-mana parti politik.

Beliau berkata, CMCS berharap dapat mengumpulkan seramai mungkin responden termasuk dalam kalangan pengundi berusia 18 tahun ke atas dan mereka yang pertama kali mengundi untuk menyertai kaji selidik dilaksanakan secara dalam talian nanti.

"Semua rakyat Malaysia digalakkan menyertai kaji selidik ini kerana ia menjadi platform terbaik kepada mereka untuk membuat pelbagai tuntutan kepada parti politik sama ada daripada blok pembangkang, mahu pun kerajaan mengenai perkara penting yang mereka perlu masukkan dalam manifesto atau aku janji pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Hasil kaji selidik ini juga boleh memberi manfaat bukan hanya kepada rakyat, malah mungkin dijadikan panduan oleh gabungan parti politik bagi merangka manifesto dan aku janji yang lebih menyeluruh, tepat dan mampu memenuhi aspirasi pengundi.

"Sebelum ini kebanyakan parti politik hanya merangka manifesto dan aku janji pilihan raya hanya berdasarkan kehendak dan kemahuan mereka sahaja tanpa mengambil kira pandangan dan masalah dihadapi oleh pengundi, akar umbi dan rakyat di luar sana," katanya pada Ahad.


Yun Fah menambah, hasil kaji selidik berkenaan juga boleh memberikan gambaran sebenar mengenai corak sokongan pengundi tegar sama ada BN, PH, PN serta pengundi atas pagar, mereka berusia 18 tahun ke atas dan pertama kali mengundi pada PRU15 nanti.

Ini kerana kata beliau, kaji selidik berkenaan dilaksanakan oleh tiga firma penyelidikan dan lima agensi media tempatan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana parti politik sama ada pembangkang mahu kerajaan semasa.

Lima media perdana dalam negara bersama tiga firma penyelidikan menjalinkan kerjasama bagi menjalankan satu kaji selidik mega untuk mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia menjelang PRU15.

Kaji selidik bertajuk Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 dilaksanakan bermula hari ini hingga 9 Oktober depan membabitkan Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily serta Malaysian Nanban.