Ini kerana, pada usia 18 tahun ke bawah, seseorang remaja masih di dalam proses mengenal diri dan personaliti mereka.
Itu penjelasan oleh kaunselor perkahwinan, Noraniza Anwar dari Klinik Sukses berikutan kisah perkahwinan pengantin remaja, Muhd Muaz Mislan, 15, dan pasangannya Nur Izzati Amiera Ishak, 17, menjadi 'viral' dan tersebar secara meluas di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Menurut Noraniza, ketika usia tersebut seseorang remaja sedang mempelajari erti kehidupan.
“Pada usia ini, seseorang remaja sedang menjalani proses mengenal diri, mempelajari erti kehidupan seperti belajar menjadi tabah, belajar berasa tertekan dan sebagainya.
“Jika mereka berkahwin pada usia ini, dikhuatiri akan menimbulkan konflik dalaman yang mana selain mengenal diri sendiri mereka harus memikul cabaran dalam konflik menerima manusia lain- takut ia menimbulkan kejutan kepada remaja terbabit.
“Bukan tak boleh, cuma tak digalakkan” jelas Noraniza yang sudah 10 tahun berpengalaman sebagai kaunselor perkahwinan.
Kaunselor perkahwinan, Noraniza Anwar daripada Klinik Sukses - Foto Facebook
Menurut Noraniza, ramai pasangan muda sekitar umur 21 dan 22 tahun yang datang kepadanya untuk mendapat khidmat kaunseling adalah kerana masalah skandal tak diundang, kepercayaan tercalar dan poligami.
Namun, kata Noraniza perkara tersebut dapat dielakkan sekiranya ibu bapa memainkan peranan dalam menyalurkan ilmu dan nasihat.
“Perkahwinan mempunyai tujuh fasa yang perlu dilalui pasangan, yang mana kesemua fasa terbabit perlukan kesabaran.
“Peranan ibu bapa juga penting dalam memberi dorongan dan ilmu kepada pasangan. Secara dasarnya, apabila seseorang lelaki menjadi suami lebih-lebih yang beragama Islam, mereka perlu ada kredibiliti dan bakat kepimpinan dalam memimpin sesebuah rumah tangga.
"Daripada kaca mata seorang kaunselor, saya lihat seseorang remaja masih belum mampu mengimbangi kesemuanya ini” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Undian yang dijalankan Astro AWANI mendapati, sebanyak 66 peratus pembaca merasakan lelaki masih tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami atau bapa di usia muda.
Manakala untuk undian kedua, 50 peratus mengatakan golongan wanita tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai isteri atau ibu di usia remaja dan 34 peratus lagi merasakan golongan ini mampu.
Di laman media rata-rata merasakan tidak salah kahwin pada usia remaja bagi mengelakkan maksiat berleluasa, namun tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju perkahwinan di usia muda.