Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencadangkan agar kaedah dilakukan Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Malaysia-Thailand diperluaskan ke rantau Asia bagi menjamin keamanan dan keselamatan di sempadan.

Jelasnya, kerjasama erat dengan negara jiran perlu menjadi keutamaan bagi membanteras ancaman keganasan yang berada di dalam dan luar negara.

"Saya percaya bahawa (hubungan erat Malaysia-Thailand) ini boleh membezakan kita dengan hubungan dua hala negara yang lain sebab itu kerjasama dengan negara jiran kena letak keutamaan.

"Dan kita kena bekerja keras untuk wujudkan jalinan lebih erat, dunia sekarang semakin kompleks, ancaman juga dilihat ada di dalam dan luar negara," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thai (GBC MALTHAI) Ke-53 bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon, di sini hari ini.

Jelasnya, hubungan Malaysia dan Thailand berada pada satu tahap yang sangat tinggi iaitu melibatkan kepercayaan dan fahaman kedua-dua negara terhadap ancaman yang dihadapi.

"Saya tengok kami (Malaysia dan Thailand) ada konsensus antara kedua-dua negara. Ini adalah satu contoh di mana bukan sahaja agensi tidak bekerja dalam silo masing-masing, mengikut negara masing-masing, tetapi agensi di dua buah negara diminta untuk bekerjasama rapat dalam berhadapan dengan ancaman-ancaman baharu," jelasnya.

Hishammuddin mengakui wujud banyak kes jenayah rentas sempadan yang pada asalnya di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, kini beralih ke skop kementeriannya.

"Saya bimbang black money atau black economy daripada penyeludupan orang, dadah, semua ini kalau tidak boleh masuk dalam ekonomi yang sebenar, ia terpaksa digunakan dalam black economy dan apabila sampai ke tangan Daish, ia menjadi tanggungjawab kita di peringkat Kementerian Pertahanan," tambahnya.

Antara tumpuan dan tanggungjawab utama yang dipikul kementeriannya kini ialah memastikan dana daripada hasil aktiviti haram berkenaan tidak sampai ke tangan militan Daish.

"Apa yang penting ialah bekerja secara bilateral, trilateral dan regionally (serantau), dan berkongsi maklumat, itu adalah langkah terbaik. Itulah apa yang kita lakukan di Laut Sulu dengan Filipina dan Indonesia.

"Ia adalah pemikiran di luar kotak yang menyaksikan kita tidak perlu 10 negara ASEAN dalam lembaga itu (untuk selesaikan isu di Laut Sulu)," kata beliau.