KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur terus menunjukkan penurunan kepada 600,900 orang pada November berbanding 602,000 pada Oktober tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kadar pengangguran kekal 3.6 peratus, sambil menyifatkan penunjuk positif itu selaras perkembangan aktiviti ekonomi semasa dalam negara.

"Pada Nov 2022, pasaran buruh terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa. Justeru, kedudukan tenaga buruh terus berkembang pada bulan tersebut, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur berkurangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Nov 2022 dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang berbanding 16.68 juta orang pada Oktober, sementara kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus mencatatkan 69.8 peratus (Okt 2022: 69.7 peratus).

"Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang (Okt 2022: 16.08 juta orang)," katanya.

Beliau berkata kategori pekerja merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.21 juta orang pada Nov 2022 berbanding 12.20 juta orang pada Okt 2022, sambil menambah penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.85 juta orang.

"Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit, Perkhidmatan makanan & minuman;

Mohd Uzir berkata pada bulan sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.9 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia 329,300 orang berbanding 337, 200 orang pada Okt tahun lepas.

"Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh terus menurun dengan pengurangan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang (Okt 2022: 7.24 juta orang).

"Sebab utama luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan 43.1 peratus, diikuti oleh bersekolah/ latihan dengan 41.3 peratus," katanya.

Ketua Perangkawan berkata pengoperasian berterusan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga penghujung 2022 telah membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat sekali gus mengekalkan momentum pemulihan ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan lebih memberangsangkan sejajar dengan perkembangan positif ekonomi semasa, terutamanya pada awal 2023.

-- BERNAMA