Kadar ketakutan terhadap jenayah dalam kalangan rakyat di Selangor berada pada tahap 37 peratus tahun lepas, jauh melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 54.9 peratus yang ditetapkan kerajaan, demikian menurut hasil kaji selidik Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) PEMANDU Associates.

Naib presiden kanan PEMANDU Associates, Abdul Mutalib Ishak berkata peratusan itu diperolehi daripada hampir 100,000 responden terdiri daripada kumpulan masyarakat dari persatuan penduduk, perniagaan, rukun tetangga dan sekolah yang menjawab kajian secara dalam talian mengenai tahap kepuasan mereka terhadap usaha pihak polis menangani jenayah.

"Seramai 79 ketua balai polis di Selangor telah menemui responden di kawasan jagaan masing-masing dan memujuk mereka menjawab kajian ini. Hasil keputusan mendapati kadar ketakutan terhadap jenayah dalam kalangan rakyat di Selangor berada pada tahap 37 peratus secara keseluruhan pada tahun lepas.

"Ini satu pencapaian memberangsangkan bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebab melebihi sasaran KPI 54.9 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembentangan Hasil Kaji Selidik PCI IPK Selangor di sini pasa Selasa.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib berkata kajian kali pertama yang dijalankan pihaknya bagi tempoh September hingga November tahun lepas itu juga mendapati PCI yang dicatatkan oleh IPK Selangor adalah kedua terbaik di negara ini selepas Pulau Pinang (33 peratus).

"PCI yang rendah mencerminkan prestasi yang lebih bagus, manakala PCI yang tinggi menunjukkan rakyat lebih takut dengan kadar jenayah," katanya.

Menurut beliau lagi, penyebaran berita di laman sosial yang kadang-kala diragui kesahihannya merupakan faktor penyumbang kepada ketakutan masyarakat.

Abdul Mutalib dalam pada itu berkata pihaknya akan mencadangkan kepada pihak polis supaya melaksanakan kajian PCI di tujuh negeri lain pada tahun ini, dalam satu mesyuarat yang akan diadakan pada 27 Feb ini.

PEMANDU Associates adalah firma perunding swasta sepenuhnya yang ditubuhkan oleh pengurusan dan kakitangan PEMANDU, iaitu Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA