Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kemungkinan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan ditingkatkan lagi.

“Insya-Allah YAB Perdana Menteri, di Lenggong ini bila minta, di negeri Perak ni pun kita minta, supaya adalah ole-ole untuk penerima BR1M supaya dipertimbangkan jumlahnya lebih banyak, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lenggong di Kampung Chain, dekat sini, pada Isnin.

Kira-kira 15,000 penduduk Lenggong hadir pada majlis itu bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad; dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mentek.

BR1M mula diperkenal pada 2012 dan kali terakhir berlaku kenaikan ialah pada tahun lalu.

Buat masa ini, penerima BR1M menerima antara RM450 dan RM1,200, bergantung kepada kategori masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, BR1M bukanlah dedak atau gula-gula seperti yang ditohmah oleh pembangkang kerana ia memberi manfaat kepada ramai rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata tahun lalu di Perak sahaja lebih 684,588 orang mendapat BR1M yang berjumlah RM605 juta, manakala di Lenggong 11,631 penerima dengan jumlah pembahagian sebanyak RM10.5 juta.

“Adakah ini dedak? Tidak dedak, jangan hina orang Lenggong, jangan hina orang Perak, jangan hina rakyat Malaysia yang menerima BRIM kerana kita semua adalah rakyat yang berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan BRIM itu," kata Ahmad Zahid.

Beliau menambah, soal perbezaan pegangan parti politik bukan menjadi asas kerana di dalam Islam yang penting adalah melakukan keadilan.