TOKOH agama dan pemimpin organisasi dari pelbagai latar belakang mengajak jutaan rakyat Malaysia untuk menyertai Malaysia #QuranHour yang diadakan serentak di beberapa lokasi seluruh negara, hari ini.

Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.

Program yang mengetengahkan bacaan surah al-Jumu’ah dan surah al-Hujurat itu disiarkan secara langsung di Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama, dari jam 10 hingga 11 pagi.

Malaysia #QuranHour dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi lain seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain melibatkan institusi pengajian tinggi tempatan.

Pemilihan tema Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara untuk Malaysia #QuranHour pada tahun ini disifatkan bertepatan dalam konteks pembangunan masyarakat yang berakhlak dan berjiwa merdeka.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhammad berkata, tema itu amat relevan dan tepat memandangkan al-Quran mempunyai kaitan dengan Rukun Negara.

Menurutnya, Kepercayaan Kepada Tuhan merupakan Rukun Negara pertama yang perlu dijunjung rakyat Malaysia setiap masa.

“Jadi, program Malaysia #QuranHour bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’, membolehkan kita menghayati Rukun Negara.

“Jadi, ia akan membuatkan kita lebih ada sifat patriotik dan ingin membantu negara serta apa juga kita buat dalam membantu masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, al-Quran dan program Malaysia #QuranHour memainkan peranan dalam memperkukuh prinsip-prinsip Rukun Negara dalam masyarakat.

“Kepercayaan Kepada Tuhan itu yang utama. Jadi apabila al-Quran ini adalah sumber panduan kehidupan, jadi ia menerapkan nilai murni dan adab di muka bumi ini dalam kita bermuamalat.

“Jikalau kita lihat lima prinsip dalam Rukun Negara, ia ambil kira semua tentang kedaulatan undang-undang, tentang kesetiaan kepada Raja dan Negara kepercayaan kepada Tuhan,” katanya.

Sehubungan itu, Mastura menyifatkan penganjuran Malaysia #QuranHour akan menyebabkan masyarakat lebih ikhlas dan memahami Rukun Negara dengan lebih mendalam.

Tambah beliau, program itu juga akan melahirkan masyarakat yang lebih menyayangi ilmu dan prihatin tentang kesusahan masyarakat lain.

Beliau turut melihat, penghayatan terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara dapat memberi kesan besar terutamanya mewujudkan keharmonian dalam hubungan dan kehidupan.

Disebabkan itu, Mastura berkata, PPAS menggalakkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan kakitangan dan pengunjung perpustakaan khususnya melalui aktiviti seperti program kesedaran, kuiz dan silang kata bertemakan Kemerdekaan.

Katanya, pihaknya turut mengadakan pameran tentang Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan kepada Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara.

Jelasnya, pameran berkaitan bangsa dalam Malaysia pula menggalakkan masyarakat berbilang kaum saling menghormati antara satu sama lain.

“Kita buat program kolaborasi dengan sekolah seperti kayuh basikal, perarakan kemerdekaan dan program bersama masyarakat di perpustakaan.

“Kita turut perkenalkan perpustakaan basikal baca untuk pergi ke kampung-kampung dan taman-taman,” katanya.

Ujarnya, usaha itu diambil untuk menyantuni masyarakat dengan ilmu, membangunkan minda dan menaikkan semangat patriotik mereka.

Mastura memaklumkan, pihaknya menjayakan program Malaysia #QuranHour setiap tahun sejak 2015, memandangkan ia membantu PPAS membentuk dan membina karakter kakitangan serta pengurusan.

Beliau berpandangan, program Malaysia #QuranHour selari dengan visi PPAS untuk menjadi pembelajaran pusat pembelajaran sepanjang hayat yang membina kekuatan spiritual, intelektual dan emosi.

Mastura turut berpandangan, aktiviti membaca al-Quran juga dilihat memupuk dan membina perasaan prihatin dan empati, sekali gus menyebabkan masyarakat tidak cepat putus asa ataupun malas untuk berkhidmat kepada orang ramai.

Tambahnya, walaupun Malaysia #QuranHour bermula daripada tindakan kecil dan mudah namun beri impak sangat besar kepada warga PPAS dan masyarakat.

Katanya, program itu membawa perubahan positif yang signifikan kepada kakitangan mahupun masyarakat.

Bagaimanapun, Mastura tidak menolak terdapat cabaran dilalui PPAS dalam menbantu menyebar luas gelombang al-Quran kepada agensi-agensi di bawahnya terutamanya pada peringkat permulaan.

Sehubungan itu katanya, PPAS sentiasa mencari jalan untuk meremajakan program tersebut, sekali gus mencipta kelainan bagi mendepani cabaran dan menarik lebih ramai penyertaan.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara PPAS dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dalam menjayakan program berkaitan al-Quran akan diteruskan. - Sinar Harian