KUALA LUMPUR: Lebih ramai tenaga mahir diperlukan bagi memenuhi keperluan industri pembinaan yang semakin berkembang pesat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, juruukur bahan antara yang memikul tugas penting dalam memastikan industri pembinaan bergerak seiring dengan keperluan inovasi dan teknologi semasa.

"Peranan juruukur bahan amat penting dalam menjayakan setiap aktiviti pembinaan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan kewangan dan kontrak binaan dari peringkat awal sehingga penyelesaian akaun akhir.

"Oleh itu, juruukur bahan sewajarnya sentiasa bekerjasama dengan disiplin lain bagi memastikan kejayaan sesuatu projek.

"Saya percaya dengan penganjuran Konvensyen Antarabangsa Ukur Bahan (QSIC) pada tahun ini, perkongsian idea, ilmu, pengalaman para peserta dan kerjasama strategik dari pelbagai pihak akan menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti profesion dan industri, agar terus mencapai tahap yang lebih cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Malam Anugerah 2023/2024 dan Sambutan Ulang Tahun Lembaga Juru Ukur Bahan Malaysia (LJBM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Isnin.

Tambah Alexander, dengan lebih 5,558 ahli yang berdaftar bersama LJBM, ia menjadi bukti kerjaya sebagai juruukur merupakan salah satu profesion yang semakin berkembang.

Dalam majlis tersebut, Alexander turut menyampaikan enam anugerah kepada individu serta kumpulan kerja bagi menghargai sumbangan dan kejayaan dalam bidang ukur bahan.

Enam kategori tersebut ialah Anugerah Emas, Anugerah Pencapaian Khas (Elit dan Inspirasi), Anugerah Inovasi, Anugerah Waja, Anugerah Perdana dan Anugerah Penghargaan kepada media atas kerjasama sebagai rakan media LJBM.