Jumlah penumpang harian purata perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang/Greater Kuala Lumpur merekodkan trend menaik tahun lepas dengan peningkatan 3.7 peratus atau 1,206,111 berbanding 1,162,717 pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata ini menunjukkan kejayaan usaha kerajaan dalam menambah baik sistem pengangkutan awam negara.

"Kami bangga mengumumkan pencapaian positif ini dan kami boleh lihat semua projek pengangkutan seperti MRT (Transit Aliran Mass), Rel Berkelajuan Tinggi serta perkhidmatan bas dan tinjauan kami menunjukkan kami di landasan yang betul," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Semakan Tahunan 2017 SPAD, di sini pada Selasa.

Laporan setebal lapan muka surat bertajuk 'Menyentuh Kehidupan Menghubungkan Masyarakat' itu menyemak semula prestasi semua perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Berdasarkan laporan itu, rel bandar mencatatkan peningkatan 7.5 peratus jumlah penumpang harian purata tahun ke tahun, disumbangkan terutamanya oleh pembukaan penuh MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer pada 17 Julai tahun lepas.

Suruhanjaya itu juga berkata Transit Aliran Ringan (LRT) Jajaran Kelana Jaya menyaksikan peningkatan 7.0 peratus penumpang harian puratanya kepada 272,684 tahun lepas berbanding 254,854 pada 2016.

Bagaimanapun, Mohd Azharuddin berkata beberapa perkhidmatan pengangkutan mengalami penurunan penumpang disebabkan kerja-kerja menaik taraf termasuk perkhidmatan komuter KTM yang menyaksikan kemerosotan 14.5 peratus susulan projek pemulihan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang menjejaskan kekerapan tren.

Monorel juga mengalami trend menurun pada 2017 dengan kemerosotan 23.5 peratus susulan pemberhentian perkhidmatan set tren lima gerabak.

Walaupun begitu, Mohd Azharuddin berkata tinjauan Indeks Kepuasan Pelanggan menunjukkan 90 peratus responden berpuas hati dengan pengangkutran awam bandar tahun lepas, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Semakin ramai pengguna yang berpandangan pengangkutan awam menawarkan mereka kaedah yang berkesan dan kos efektif untuk bergerak," katanya

Bagi perkhidmatan rel antara bandar, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTM menyaksikan peningkatan 14.2 peratus kepada 19,835 tahun lepas berbanding 17,367 pada 2016.

Mohd Azharuddin berkata pada masa ini perkhidmatan ETS merupakan mod pengangkutan antara bandar yang popular dan sebanyak RM1.1 bilion telah diperuntukkan bagi membeli 19 tren ETS baharu menjelang 2019.

Bagi perkhidmatan bas, GoKL Bus yang menyediakan perkhidmatan percuma di ibu kota mencatatkan peningkatan jumlah penumpang yang signifikan pada 26.6 peratus kepada 63,218 tahun lepas berbanding 51,812 pada tahun sebelumnya.

Perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) Sunway pula menyaksikan peningkatan 34.6 peratus daripada 5,382 pada 2016 kepada 7,244 tahun lepas.

Mengenai perkhidmatan teksi, Mohd Azharuddin berkata pada tahun lepas, 1,200 pemandu teksi yang layak menerima permit teksi individu dan seramai 581 pemandu menerima geran kerajaan RM5,000 untuk membeli teksi mereka sendiri.

SPAD juga sedang menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 tahun ini agar suruhanjaya itu dapat mengawal selia sepenuhnya sektor e-hailing merangkumi operator, pemandu dan kenderaan, kata Mohd Azharuddin.

Beliau berkata suruhanjaya akan melancarkan perancang perjalanan pada suku keempat dan melaksanakan sistem tiket bersepadu menjelang 2019 yang akan menjadikan transit lebih lancar, bagi menarik lebih ramai penumpang.

"Kami juga menyemak semula rangka kerja Pusat Kecemerlangan Rel Negara yang akan ditubuhkan bagi menyokong pembangunan tenaga kerja mahir untuk industri rel," katanya.

Mohd Azharuddin juga berkata SPAD akan memulakan proses Permohonan Cadangan dalam usaha melaksanakan sistem perkhidmatan trem di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi tahun ini.

-- BERNAMA