PEKAN: Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Negeri Pahang meningkat kepada 1,074 orang pada malam ini berbanding 986 tengah hari tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, setakat jam 8 malam, kesemua mangsa daripada 310 keluarga itu kini ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah yang terjejas antaranya Lipis, mencatatkan 501 mangsa daripada 144 keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di 13 PPS yang dibuka sejak 31 Disember lalu.

Daerah Raub turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir berbanding semalam iaitu seramai 276 orang daripada 84 keluarga yang kini ditempatkan di 12 PPS.

[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri

BACA: Banjir: Lima daerah di Pahang dibadai gelombang kedua

Di daerah Maran pula, seramai 92 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Selain itu, daerah Jerantut turut terjejas akibat gelombang kedua dan sehingga kini, 61 mangsa telah ditempatkan di tiga PPS.

Manakala di Rompin, 130 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS, dan di daerah Bera pula 14 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di satu PPS.

Sementara itu, seramai 1,063 mangsa banjir gelombang pertama di Pahang masih ditempatkan di 10 PPS.

Jumlah korban akibat bah gelombang pertama di negeri itu kekal 21 mangsa.