KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan peningkatan, manakala beberapa negeri lain tidak menunjukkan perubahan ketara setakat 8 pagi ini.

Di KEDAH, jumlah mangsa meningkat kepada 2,505 orang daripada 907 keluarga pagi ini berbanding 1,419 orang malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata 813 mangsa berlindung di enam PPS di daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SMK Indera Putra, SMK Mahawangsa, Dewan PPK Lubuk Batu, Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan SK Ahmad Tajuddin.

Menurutnya bagi daerah Kota Setar, seramai 716 mangsa berlindung di lima PPS iaitu SMK Alor Merah, SMK Kepala Batas, SK Taman Aman, SK Titi Gajah dan SK Haji Idris, manakala di daerah Pendang, seramai 281 ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan SMK Pendang.

"Di Pokok Sena, seramai 368 mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu di SK Tualang, SK Bukit Hijau dan Dewan Serbaguna Pokok Sena, manakala di Baling, seramai 327 mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Parit Panjang, SK Siong, Kompleks Rakan Muda, Maktab Mahmud Baling dan Dewan Tun Razak," katanya.

Di PERLIS, mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan kepada 686 orang daripada 225 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 195 mangsa malam tadi yang ditempatkan di lima PPS di Arau dan Kangar.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan berkata seramai 429 mangsa berlindung di tiga PPS di Arau iaitu PPS SK Kubang Gajah, PPS SK Guar Nangka dan SK Arau manakala 257 mangsa berada di dua PPS di Kangar iaitu PPS SK Sena dan PPS SK Bintong.

Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 36 mangsa daripada tujuh keluarga berbanding 33 mangsa malam tadi yang ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Koa Sungai Ruil berikutan insiden tanah runtuh dan banjir kilat di sekitar kawasan terbabit namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, jumlah mangsa juga meningkat sedikit kepada 168 orang daripada 51 keluarga berbanding 163 orang malam tadi yang ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai di daerah Kerian serta Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak.

Di SELANGOR, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 150 mangsa daripada 28 keluarga, berbanding 152 mangsa malam tadi. Semua mangsa ditempatkan di dua PPS di Kuala Selangor iaitu PPS SK Ijok dan SK Bukit Badong.

Situasi banjir di JOHOR tidak menunjukkan sebarang perubahan dengan jumlah mangsa kekal 496 orang daripada 133 keluarga yang masih ditempatkan di enam PPS, iaitu SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan di daerah Pontian, Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau di daerah Kluang serta SK Seri Bunut di daerah Batu Pahat.

Keadaan sama direkodkan di MELAKA dengan jumlah mangsa kekal 22 orang daripada enam keluarga yang kesemuanya berasal dari Kampung Parit Lampong serta Kampung Tanjong Laboh dan ditempatkan di PPS SK Tehel di daerah Jasin.

-- BERNAMA