KUALA LUMPUR: Banjir di tiga negeri kian pulih dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 85 orang di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini berbanding 114 orang di lima PPS petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 25 orang di satu PPS di Segamat berbanding 54 orang di dua PPS petang tadi.

Di Pahang bilangan mangsa banjir kekal 34 orang yang berlindung di dua PPS di Maran manakala jumlah mangsa banjir di Kelantan tidak berubah dengan 26 orang berada di satu PPS di Pasir Mas.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya meliputi Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 9.21 meter (m) dengan trend menurun dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.72m dengan trend meningkat).

Laporan itu juga menyatakan terdapat 26 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor, Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

-- BERNAMA