GEORGE TOWN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya lebih berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan seterusnya menjaga imejnya sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.

Itu, teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang.

Wan Salim berkata, kenyataan yang dibuat beliau adalah tidak wajar dan ia amat mendukacitakan.

Malah ia boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri berkenaan.

"Selaku seorang ‘abang’, suka saya menasihatkan Menteri Besar Kedah ini supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad," katanya.

BACA: Tiada lagi kelulusan lesen baharu diberikan kepada premis judi di Kedah

Dalam masa sama, Wan Salim juga menasihatkan Muhammad Sanusi supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan pemimpin lain terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan mesra dengan semua pihak.

"Kita sedia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tiada raja atau sultan di Malaysia. Pulau Pinang termasuk dalam negeri yang segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung di bawah Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, walaupun Pulau Pinang kini diperintah Pakatan Harapan (PH) menerusi gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Sebagai contoh, katanya, bajet yang diperuntukkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi melaksanakan pelbagai program keislaman di negeri ini mencecah hampir RM70 juta sejak tahun 2008.

"Sebagai seorang Pemimpin Kerajaan sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia, beliau sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini," katanya lagi.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri Kedah akan mengharamkan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dan bagi rakyat Kedah yang ingin membeli judi ekor itu, mereka boleh mendapatkannya di Pulau Pinang.