Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.
"Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.
"Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat)," katanya.
BACA: Insiden tembakan di kem TUDM: Suspek tembak tiga rakan ketika masa serah tugas - Polis
Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.
Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.
Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).
-- BERNAMA