Thamaraj, 29, bertugas dalam pasukan 9 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja, menjadi pesilat berbangsa India pertama yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 dalam kategori Bebas Putera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Disember lepas.
Thamaraj menyifatkan penganugerahan itu amat bermakna dalam kariernya dan berazam terus berbakti kepada dan mengharumkan nama negara.
"Terima kasih kepada ATM (Angkatan Tentera Malaysia), Majlis Sukan Negara dan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia yang memberi peluang kepada saya realisasikan impian menjadi juara dunia. Bagi saya sukan silat ini berbeza dengan sukan mempertahankan diri yang lain, skill dan teknik juga berbeza," katanya kepada pemberita di sini.
Thamaraj, anak kedua daripada tiga beradik itu turut menyifatkan teknik seperti sapuan, guntingan dalam sukan silat juga menjadi pendorong pesilat negara ini untuk lebih mendalami sukan berkenaan.
Turut menerima anugerah Ahmad Fauzan, 33, yang merangkul emas dalam acara silat kreatif tunggal putera dalam kejohanan yang sama, manakala Mohd Nor, 41, atas keberaniannya menyelamatkan empat remaja daripada lemas di sebuah tasik di Puncak Alam, Selangor pada 24 Nov lepas.
Ahmad Fauzan menyifatkan penyertaan rakannya itu dalam sukan silat dapat menarik lebih ramai kaum lain menyertai dan mengangkat martabat sukan tersebut.
"Terima kasih juga kepada panglima dan ATM kerana beri anugerah atas pencapaian kami," katanya yang bertugas di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja.
Tiga anggota tersebut menerima anugerah disampaikan oleh Panglima Tentera Darat Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Bagi Mohd Nor yang bertugas dalam Pasukan 41, Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di Kem Sungai Buloh yang akan bersara pada April ini, tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan.
"Pada bulan November lepas saya dinaikkan pangkat dan tahun ini terima anugerah tertinggi ini, syukur Alhmadullilah," katanya.
Anugerah Pisau Tentera Darat merupakan pengiktirafan kepada pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mempamerkan tindakan atau aktiviti berbentuk keberanian serta kecemerlangan semasa latihan mahupun operasi.
Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata penganugerahan tersebut diberi bagi memberi semangat kepada anggota yang cemerlang dalam perkhidmatan.
"Kita sentiasa memberi peluang dan meraikan anggota yang layak, anugerah ini dapat memberi semangat anggota yang lain untuk terus membuat kebaikan serta mencapai kejayaan. Pencapaian mereka adalah luar biasa," katanya.
-- BERNAMA