JSJN Negeri Sembilan lelong barang kes hampir RM100,000
JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan melelong barang kes yang dirampas dan disita membabitkan pengedaran dadah di negeri itu dengan hasil lebih RM99,000.
Bernama
Wed Sep 11 2024
Ahmad Dzaffir berkata aset dilupuskan itu telah selesai perbicaraan dan diperintahkan oleh mahkamah untuk dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan melelong barang kes yang dirampas dan disita membabitkan pengedaran dadah di negeri itu dengan hasil lebih RM99,000.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata aset dilupuskan itu telah selesai perbicaraan dan diperintahkan oleh mahkamah untuk dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.
"Lelongan ini melibatkan 50 barang kemas pelbagai bentuk, empat utas jam tangan dan tujuh kenderaan dengan nilai simpanan RM57,175. Hasil lelongan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memperoleh RM99,981.50 dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan.
"Hasil lelongan ini merupakan cara kerajaan mendapatkan pulangan semula harta pengedaran dadah yang diperoleh secara salah dan tidak sah," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Ahmad Dzaffir berkata sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, JSJN negeri turut menahan 5,696 individu bersabit pelbagai kesalahan dadah serta menyita aset sejumlah lebih kurang RM4 juta.
"Kita tidak pernah berhenti melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan terus menyita harta mereka supaya tidak dapat hidup mewah hasil daripada pengedaran dadah," katanya.