TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membanteras sindiket yang menyeludup pendatang tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung, menerusi Ops Lancar.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata hasil operasi itu 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu telah ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau pada Khamis lepas antaranya hasil maklumat awal seorang warga Filipina yang ditahan di Lembah Klang pada tiga bulan lalu.

Beliau berkata lima pegawai Jabatan Imigresen turut ditahan pihak SPRM di Tawau bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Ops Lancar dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) berjaya menahan lapan pendatang warga Filipina yang berjaya melepasi pemeriksaan untuk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Enam pendatang didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri manakala dua orang lagi termasuk bayi berusia 21 bulan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek pembinaan pejabat dan kuarters JPN Tawau di sini hari ini.

Projek bernilai RM20 juta itu telah mula dibina pada 2017 membabitkan pejabat dan 12 unit kediaman petugas JPN Tawau, dengan pejabat itu dijadual beroperasi pada Mei tahun ini.

Ruji berkata hasil Ops Lancar yang dijalankan serentak pada hari itu, sepasang suami isteri warganegara Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri ditahan di sebuah rumah transit sindiket di Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Beliau berkata risikan mendapati terdapat penglibatan ejen atau sindiket yang bergerak secara aktif selama dua hingga tiga tahun mengurus kemasukan pendatang tanpa izin Filipina dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan bayaran RM2,500 seorang.

Sindiket juga dipercayai menguruskan kemasukan warga Filipina yang pernah dikenakan tindakan undang-undang atas pelbagai kesalahan, katanya.

Katanya susulan serbuan berkenaan pasukan Ops Lancar bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengesan lokasi pemilik sebenar MyKad yang digunakan sindiket dan tujuh pemilik MyKad ditahan di pelbagai lokasi untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan susulan lain kita serah kepada pihak polis dan pasukan operasi, saya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan kerana siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara ini berulang," katanya.

-- BERNAMA