Dalam kenyataan hari ini, Aedy Fadly memaklumkan penggantian kamera AwAS berkenaan adalah selaras dengan penambahbaikan sistem kamera AwAS sedia ada selari dengan perubahan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera itu beroperasi dengan lebih baik.
"Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan besar dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal," kata JPJ.
Beliau berkata pengoperasian kamera AwAS juga untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Justeru, JPJ menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya.
"Jabatan ini juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, seterusnya berada pada tahap yang terbaik," katanya.
-- BERNAMA