Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru agar Malaysia tampil sebagai negara yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik di dunia.

"Kita adalah yang ketiga terbaik di dunia bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, namun kita perlu berusaha untuk jadi yang terbaik!" katanya dalam akaun Twitter beliau pada Jumaat.

Najib turut menyediakan pautan kepada satu laporan berita oleh Bernama berkaitan pelaksanaan empat projek baharu di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Penjagaan Kesihatan bagi penyediaan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada rakyat serta menjana ekonomi negara.

Projek baharu itu berkaitan dua kelompok projek permulaan (EPP) iaitu peranti perubatan dan kesejahteraan warga emas.

Awal tahun ini, satu kajian oleh majalah terbitan Amerika iaitu International Living menilai sistem penjagaan kesihatan Malaysia sebagai ketiga terbaik daripada 24 negara dalam Indeks Persaraan Global 2014.

Menurut indeks itu, yang dikeluarkan majalah berpangkalan di Baltimore berkenaan, penjagaan kesihatan Malaysia mendapat markah 95 daripada 100 bagi penawaran perkhidmatan terbaik dan harga berpatutan.

Dua negara di dua tempat teratas, iaitu Perancis dan Uruguay, masing-masing memperoleh markah 97 dan 96.

Sementara itu, Najib turut mengucapkan tahniah kepada kartunis terkemuka negara, Datuk Mohammad Khalid atau 'Lat', kerana novel grafik beliau 'Kampung Boy' diterjemah ke dalam Bahasa Jepun.

"Hebatnya. Bagaimana kita sebut 'Kampung Boy' dalam Bahasa Jepun ye? Tahniah Datuk Lat!" kata Najib dalam Twitter beliau.

Kampung Boy versi Jepun akan menjadi antara penerbitan yang dipamer Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo ke-21 (TIBF) dari 2 hingga 5 Julai ini.