Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada Selasa menafikan kenyataan dan video yang mendakwa 2019 novel koronavirus sudah tersebar di kawasan Desa Tebrau, dekat sini.

Dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya, JKNJ berkata satu laporan polis juga telah dibuat berhubung kenyataan dan video yang didapati tular di media sosial sejak awal pagi Selasa.

"Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Orang awam diminta tidak menyebarkan viral yang tidak sahih ini kerana ia akan menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.


"Orang ramai juga diingatkan penyebaran berita palsu sebegini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Angka korban lebih 400 di seluruh dunia

Sebuah video berdurasi 11 saat menunjukkan dua orang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) sedang mengiringi seorang lelaki masuk ke dalam ambulans dengan kenyataan "Corona virus dah mendekati kawasan Desa Tebrau" didapati tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp pada Selasa.

BACA: Koronavirus: Suspek sebar berita palsu ditahan

-- BERNAMA