Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan memaklumkan terdapat tanda-tanda jangkitan di saluran pernafasan terhadap 29 pesakit Orang Asli suku Batek di Kuala Koh Gua Musang, Kelantan.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengarah Kesihatan Negeri (JKN), Dr Zaini Hussin bagaimanapun memaklumkan hasil pemeriksaan susulan di dua hospital, Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai masih menunggu keputusan ujian yang lain.

Setakat ini, katanya keputusan ujian terhadap kemungkinan menghidap Tibi telah diperolehi dan adalah negatif.

"Pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan tersebut. Setakat ini keputusan ujian terhadap Tibi telah diperolehi dan adalah negatif. Pihak kami masih menunggu keputusan ujian yang lain," menurut kenyataan itu.

Kesemua 29 pesakit terbabit terdiri dari 19 orang perempuan dan 10 orang lelaki yang dirawat di dua hospital tersebut sejak Selasa lalu kini dalam stabil dan keadaan kesihatan mereka semakin pulih.

Dr Zaini pada masa sama mengesahkan dakwaan yang tular di media sosial mengenai 13 orang penduduk yang ditemui mati dalam tempoh sebulan adalah tidak benar.

BACA: Bukan penyakit misteri, kematian akibat jangkitan paru-paru - Polis

BACA: Kematian Orang Asli Gua Musang: Tiada pencemaran air sungai - JAS


BACA: Misteri kematian orang asli di Gua Musang

“Hasil verifikasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang pada Sabtu mendapati terdapat hanya dua kes yang meninggal dunia dan bedah siasat (postmortem) dilakukan di Hospital Gua Musang.

“Penyebab kematian adalah jangkitan paru-paru (Pneumonia). Kematian bagi yang lain, tidak dapat disahkan kerana tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau Klinik-Klinik Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah diarahkan untuk melakukan carian kes secara aktif (Active Case Detection) di Kuala Koh dan menemui 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk.

“Kes-kes ini telah dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Pada masa ini, aktiviti kawalan telah dilakukan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini,” katanya.

BACA: Tindakan segera perlu diambil selamatkan orang asli Kuala Koh - Husam