Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
Beliau berkata JIM tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara hingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta negara.
"Tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
"JIM serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ruslin mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku pegawai Imigresen seperti penyelewengan, salah guna kuasa, kesalahan tatatertib dan rasuah melalui talian 03-8880 1246, e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini.
Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya berjaya membongkar sindiket yang membawa masuk warga asing ke negara ini, susulan penahanan 12 individu menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan semalam.
Turut dilaporkan, mereka yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing dan lima penguat kuasa yang bertugas di KLIA Terminal 2.
-- BERNAMA