Beberapa negeri hari ini mencatatkan kenaikan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana (51-100) kepada tidak sihat (100-200) menurut bacaan IPU terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia melalui laman web jabatan itu, petang ini.

Seri Manjung di PERAK mencatatkan bacaan 105 pada pukul 4 petang, manakala beberapa kawasan lain seperti Jalan Tasek, Ipoh; Kg. Air Putih, Taiping; S K Jalan Pegoh, Ipoh; dan Tanjung Malim turut menunjukkan peningkatan bacaan namun masih di dalam kategori sederhana.

Berbeza dengan Perak, kesemua kawasan di SELANGOR mencatatkan peningkatan bacaan daripada sederhana kepada tidak sihat iaitu Banting (115), Kuala Selangor (93), Pelabuhan Kelang (127), Petaling Jaya (89) dan Shah Alam (93).

Sementara itu di WILAYAH PERSEKUTUAN pula, Cheras mencatatkan bacaan IPU yang tinggi iaitu 135 manakala Putrajaya merekodkan bacaan 113.

Antara negeri yang mencatatkan bacaan IPU sederhana pula ialah Johor (Muar dan Pasir Gudang); Kedah (Alor Setar dan Sungai Petani); Kelantan (Tanah Merah); Melaka; Negeri Sembilan; dan Pulau Pinang (Perai, Seberang Jaya 2 dan USM).

Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).