Peserta Himpunan Melayu Bersatu yang akan mula berkumpul di Bukit Bintang dan berarak ke Padang Merbok berdepan jerebu yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Jabatan Kecemasan HKL, Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, kesan jerebu itu boleh menjejaskan kesihatan peserta perhimpunan termasuk dalam jangka masa panjang.

"Peserta juga berisiko terkena serangan jantung selain boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Jerebu ini memang mempunyai bahaya habuk dan debu kebakaran, ada jerebu besar dan ada jerebu kecil.

"Jerebu yang mempunyai molekul kecil sangat merbahaya. Peserta perhimpunan berdepan risiko sakit tekak, batuk, asma dan pedih mata, saluran darah sempit dan darah tinggi.

"Ini semua apabila habuk jerebu masuk terus ke dalam paru-paru, apabila mereka pulang ke rumah seminggu atau sebulan selepas itu ia akan timbul," katanya semasa menjadi panel di dalam rancangan Landskap di TV1.

Selain Dr Abu Hassan, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad turut menjadi panel.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini meluluskan permohonan presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi Himpunan Rakyat Bersatu.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peserta Himpunan Rakyat Bersatu pada Rabu ini mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Tegasnya, peserta perhimpunan turut diminta tidak membawa sebarang risalah atau poster yang boleh membangkitkan ketegangan antara kaum.

Pada Isnin juga, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka bacaan mencatatkan bacaan melebihi 200.